Setiap insan dilahirkan dalam keadaan fitrah. Hati dan Ruhnya berada di dalam keadaan sempurna. Bersih daripada penyakit dan disinari cahaya tauhid. Ruh mengenali Tuhan. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-a'raf ayat 172;
"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat
anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia
jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil bertanya
dengan firmanNya): “Bukankah aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab:
“Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya
kamu tidak berkata pada hari Kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah
lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.
Berdasarkan hadis Rasulullah SAW bersabda: "setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu bapanyalah yang menjadikannya yahudi, nasrani dan majusi"( Hadis Riwayat Bukhari).
Selepas itu berlaku kelalaian atau penyelewengan. Kelalaian itu bermula dengan pandangan yang berasaskan sebab musabab dan kebergantungan kepada bermulanya ketika seorang bayi itu mulai ada sentuhan atau hubungan dengan ibunya. Selepas itu mula mempunyai kepercayaan, tingkah laku, perangai dan lain-lain daripada alam sekeliling. Semua ini membawa kepada penyelewengan, kelalaian dan keterlupaan.
Agama Islam datang untuk mengembalikan manusia kepada fitrah kejadiannya. Berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Rum ayat 30 bermaksud;
"(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah
dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama
yang jauh dari kesesatan (turutlah terus) "agama Allah" - iaitu agama
yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari
semulajadinya) untuk menerimanya tidaklah patut ada sebarang perubahan
pada ciptaan Allah itu itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan
manusia tidak mengetahui.
Berdasarkan ayat di atas, manusia diciptakan Allah mempunyai naluri beragama iaitu agama tauhid. Jika ada manusia yang tidak beragama tauhid, maka adalah tidak wajar. Mereka tidak beragama tauhid itu adalah lantaran pengaruh lingkungan.
Berdasarkan ayat itu juga, fitrah atau asal kejadian manusia itu adalah dia menghadap dirinya kepada Allah tanpa berpaling kepada selainNya. Menghadap kepada Allah bererti Tauhid sementara berpaling kepada Allah bererti Syirik.
SIFAT-SIFAT HATI APABILA DISINARI TAUHID
1. Menjadikan seseorang itu melihat segala perbuatan Allah taala.
2. Segala musibah diterima dengan sabar, redha dan menyerah.
3. Akan subur padanya sifat-sifat tawakal (menyerah akibat sesuatu) kepada Allah, ikhlas, khusyuk dan merendah diri kepadaNya.
4. Mengenal Allah
5. Melihat segala nikmat dan bersyukur
6. Akan tertumpu pada agama Allah.
Hati yang disinari Tauhid, tiada ruang untuk dimasuki syirik sama ada besarnya atau kecilnya. Akan secara automatik melaksanakan menyembah Allah. Wujud sifat TAQWA iaitu tunduk dan patuh. Akhlak taqwa sentiasa cuba untuk menjauhi perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Hati yang suci akan melahirkan akhlak yang mahmudah.
Jika sinar tauhid di hati terjejas (sama ada dari segi kepercayaan (iktiqad) atau perasaan). Maka akan wujud elemen syirik. Munculnya penyakit-penyakit dalaman/ hati seperti ujub, sombong, riya', hasad, ghurur dan lain-lain.
Asas kesihatan hati adalah Tauhid. Punca penyakit hati adalah syirik. Syirik akan menghalang cahaya iman/ tauhid.
PROSES MERAWAT HATI
1. Kenal pasti penyakit hati
2. Tazkiyah al-nafs (Mujahadah, Muhasabah dan Riadah al-nafs)
3. Berdoa (isti'anah dan isti'azah). Dalil: 'tidak akan suci hati seseorang itu melainkan dengan izin Allah'( an-nur:21)
wallahua'lam..
No comments:
Post a Comment