Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket

IMpIaN yG mURni

 ASSALAMUALAIKUM....


Bismillah al-Rahman al-Rahim

Saya mulakan warkah ini dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Penyayang.
Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam, yang dengan-Nyalah tersebar segala kebaikan dan ketenangan dalam hati manusia. Yang dengan-Nyalah bangkitnya segala yang benar, tersungkurlah segala kejahatan di seluruh semesta.
Insan, apabila dirinya menggapai nikmat syukur, redha, iman dan taqwa, tiada apa yang bisa menjarakkan cinta mereka daripada Allah. Bagi mukmin, segala apa musibah yang melanda, mereka redha. Bahkan, bagi mereka, segala apa nikmat kurnia-Nya, mereka syukuri. Renunglah, betapa agungnya hati yang dicintai Allah ini.
Saya mahu kongsikan sesuatu.
Saya ada impian.
Saya mahu menjadi hamba.
Hidup sebagai hamba.
Mati juga sebagai hamba.
Hamba kepada Tuhan sekalian alam.
Sebagai hamba, saya mahu sentiasa bersyukur dengan nikmat-Nya.
Mahu sentiasa redha seiring ujian-Nya.
Mahu mencapai darjat taqwa di sisi-Nya.
Saya ada impian.
Saya mahu ibu dan ayah dipakaikan mahkota di akhirat nanti. Saya mahu mereka bahagia, baik di sini dan di sana. Saya mahu mereka terlepas dari siksa-Nya.
Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya: “Sesiapa membaca (menghafal) al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Lalu, saya berazam; 30 juzuk mesti bercahaya dalam hati ini. Untuk memulakannya, saya mahu sucikan hati dahulu – sebersih-bersihnya. Saya mahu merasai ketenangan dengan ayat-ayat Allah itu.
Benar-benar mahu menghayati maksud-maksud kalam-Nya.
Saya ada impian.
Saya mahu jadi orang yang berilmu dan beramal dengan ilmu. Saya mahu membina keluarga yang mencintai ilmu-ilmu Allah. Juga mahu melahirkan keluarga yang rimbun kasih sayangnya dan teguh akar agamanya. Saya tidak mahu hati mereka reput, hingga mereka terpaksa mencari cinta selain Allah dan keluarga.
Kata sesetengah orang, mengapa mahu bersusah-payah menimba ilmu, sedangkan dengan menyanyi sahaja seseorang itu mampu menjadi kaya?
Tamsil seorang cendekiawan, ilmu itulah yang menunjangi agama kita – Islam. Dalam ilmu itulah juga ditekankan perihal adab dan di dalam wacana adab itu pula, terkandung perihal akhlak dan nilai yang luhur.
Begitu juga kata Imam al-Ghazali, dalam Ihya’ Ulumuddin – ilmu agama ialah ilmu yang memahamkan insan akan jalan menuju akhirat. Dan ia diketahui dan dikenali dengan kesempurnaan dan kebersihan akal. Sesungguhnya, menempuh jalan akhirat itu adalah sukar dan banyak tipu daya tanpa penunjuk jalannya.
Adapun, penunjuk jalan itu adalah para ulama. Mengapa pula ulama?
Ketahuilah, baginda Rasululllah SAW pernah bersabda, yang memberi panduan kepada kita:
“Sesungguhnya para ulama itu pewaris para Nabi. Dan sesungguhnya para Nabi tidaklah mewariskan dirham mahupun emas, tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barang siapa yang mengambilnya (ilmu tersebut) bererti dia telah mengambil bahagian ilmu yang banyak.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi) 
Ilmu yang paling utama untuk dituntut adalah ilmu yang mengenalkan diri kita akan Allah. Ilmu bukan sahaja pedoman kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia, bahkan ilmu juga keselamatan dan keredhaan Allah di akhirat nanti.
Dalam meneliti masyarakat hari ini khususnya golongan muda, mereka lebih gemar membicarakan soal cinta sedangan ilmu itu lebih penting dari cinta. Dengan ilmu, bukankah kita mampu mengemudi cinta itu hingga ke syurga? Bagaimana mahu berumah tangga sedangkan ilmu hanya sejengkal di dada?
Dengan ilmu, saya mahu melahirkan para pejuang agama. Saya mahu melahirkan ‘pedang Allah’, yang dengan ketajaman pemikiran dan kekuatan cinta mereka kepada Allah, mereka mampu memancung hujah-hujah dan keceluparan musuh-musuh Islam.
Bukan suami yang bergelar ustaz yang saya kejari. Saya cuma mahukan suami yang beriman dan mampu memimpin dengan baik. Kata seorang ulama, orang yang mengejar kesolehan, dia akan dikurniakan kemuliaan dan kekayaan. Usahlah persoal, kemuliaan dan kekayaan bagaimana yang Allah akan berikan.
Saya sedar, ini bukan perkara yang mudah, tapi ia juga bukan sesuatu yang susah. Saya tahu, saya perlu berusaha bersungguh-sungguh. Ini tekad saya. Sungguhpun saya tidak tahu sama ada saya sempat berkahwin atau tidak, yang pastinya hari ini, saya mempunyai ibu dan ayah – untuk saya curahkan bakti. Saya kenal dan faham jerit perih kudrat mereka.
Tahukah kenapa ini semua impian saya?
Satu, saya mahu menelusuri jalan bahagia. Yang membuahkan ketenangan untuk saya dan juga mereka yang berada di sekeliling saya.
Dua, saya takut terjatuh ke jurang azab-Nya.

Oleh itu, saya perlukan sokongan hati yang ‘digenggam’ Ilahi. Lalu dalam setiap doa, saya nyatakan pengharapan pada-Nya.
“Ya Allah, genggamlah hati ku dengan rahmat dan kasih sayang-Mu walau apa pun yang melanda.”
Sesungguhnya, Allah maha Mendengar. Dia lebih tahu getar hati setiap insan.
Ini semua impian saya, walau tidak sehebat mana. Tanda saya mahu menjadi seorang hamba.
Anda pula bagaimana?

By: Balkis Binti Muhamad Bazli
 http://myibrah.com/impian-saya
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

SEMOGA PENULIS MAMPU MENCAPAI IMPIAN MURNINYA INI. JUGA DIHARAPKAN RAMAI MUKMIN DAN MUKMINAH DI LUAR SANA MEMASANG CITA-CITA SEPERTI INI.

 DAN.......
SUDAH PASTI UNTUK DIRI INI JUGA.. (*_^)
CITA- CITA YANG BAIK  AKAN MENDAPAT PERTOLONGAN DARIPADA ALLAH..INSYAALLAH...

SEMOGA ALLAH REDHA

No comments:

Post a Comment