Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket

Perlunya Mujahadah al-nafs

Assalamualaikum..

Sedikit perkongsian tentang Mujahadah al-nafs. Apa itu Mujahadah al-nafs? Perkataan  Mujahadah al-nafs berasal daripada perkataan arab  (جاهد) yang bermaksud berjuang,berusaha bersungguh-sungguh. Bukan (جحد) yang bermaksud mengingkari. Manakala dari segi istilah pula, mujahadah al-nafs (مجاهدة النفس) bermaksud usaha yang bersungguh-sungguh memperbaiki diri dan meletakkannya di atas landasan yang ditetapkan oleh syarak. Mujahadah juga bermaksud merawat diri daripada penyakit-penyakit berupa sifat-sifat mazmumah dan kecenderungan-kecenderungan jahat disamping menyuburkan sifat-sifat mahmudah. Natijah dan kesan yang diharapkan daripada mujahadah adalah mendapat hidayah Allah SWT. Berdasarkan Firman Allah yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya". (al- Ankabut: 69)

Berdasarkan maksud ayat ini, bererti bahawa Mujahadah adalah saranan kepada hidayah Allah. Sementara dalan surah Muhammad ayat 17, Allah berfirman yang bermaksud:

"Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima pertunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah pertunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa"

 Tahap Mujahadah al-nafs
1. Keimanan kepada Allah ( Tauhid) dan percaya kepada kerasulan nabi Muhammad SAW.
2. Melakukan perkara wajib seperti solat,puasa dan zakat.
3. Melakukan ibadat-ibadat sunat atau nawafi.

Rukun Mujahadah al-nafs / aspek utama

1. AL-UZLAH (Pengasingan diri)
Al- Uzlah bermaksud pemencilan diri buat sementara waktu sebagai suatu rukun/ syarat utama mujahadah al-nafs yang bertujuan untuk membina ruhaniah seseorang. Pemencilan daripada pencampuran dengan orang ramai untuk memberi kesempatan kepada diri membuat penilaian peribadi/ kritikan diri.
Dengan ini penyakit-penyakit hati akan dapat dikenal pasti seterusnya dirawati. Tindakan begini merupakan sesuatu yang perlu dari masa ke masa di dalam kehidupan seseorang muslim. Perlu menepati peranan/ status seseorang. Berdasarkan hadis: "sesungguhnya untuk dirimu ke atasmu hak, dan untuk tuhanmu ke atas engkau hak". (HR. Tirmizi).
Al- Uzlah bukan sesuatu yang asli di dalam kehidupan seseorang Muslim, kerana seorang Muslim ditentukan supaya bercampur gaul dan bermesra.Berdasarkan firman Allah,

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)".(al-Hujurat:13).

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka bersifat yang demikian ialah orang-orang yang berjaya".( ali Imran: 104).

Kemudian disokong oleh hadis, nabi Muhammad SAW bersabda: "seseorang Muslim (mukmin) yang bergaul dengan manusia dan sabar terhadap segala kesusahan yang ditimbulkan mereka adalah lebih baik daripada seseorang mukmin yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak sabar terhadap kesusahan yang dialaminya kerana pergaulan tersebut". (HR. Ibnu Majah) 

"orang yang beriman ialah seorang yang mudah bermesra dan dimesrai dan tiada kebaikan pada orang yang tidak bermesra dan dimesrai". ( HR. Tabrani). 

Pemencilan diri yang asli bagi orang yang beriman ialah memisahkan dirinya daripada unsur-unsur kufur, nifaq dan yang terbuka untuk pembetulan dan penambaikan. Allah berfirman yang bermaksud:
 
 "Dan aku akan membawa diri meninggalkan kamu semua serta apa yang kamu sembah yang lain dari Allah dan aku akan beribadat kepada Tuhanku dengan ikhlas mudah-mudahan aku dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa (dan derhaka seperti kamu)". (surah Maryam:48).

 "Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s.) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya kamu berlepas diri daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan pemusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata", tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): "Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu". (Berdoalah wahai orang-orang yang beriman sebagai mana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan berkata): "Wahai Tuhan kami kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah Kami ruju` bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali!". (surah Mumtahanah :4).

"Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu)". (surah Al-An'am:68).

Daripada ayat al-quran ini dapat  difahami bahawa pemencilan diri secara mutlak memang tiada asalnya dalam islam kecuali dalam keadaan seseorang meraskan tiada lagi jalan untuk pembetulan dan penambaikan situasi atau masyarakat.
Ini kerana peranan menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran adalah sesuatu kewajipan ke atas umat islam.

2. AL-SUMTU ( Memelihara diri)
 -Tujuannya ialah untuk melatih lidah, kerana lidah yang tidak terkawal sering membawa padah kepada tuannya. Sabda Rasulullah SAW:

"sesiapa yang dapat memberi jaminan kepadaku bahawa dia akan menjaga apa yang berada dia antara dua janggutnya (misai dan janggut) dan apa yang ada antara kedua kakinya (alat kelamin) maka aku  jamin syurga kepadanya". (HR.Bukhari) 

"barangsiapa menjaga kepadaku unutk menjaga lidahnya dan kemaluannya aku jaminkan kepadanya syurga" (HR. Bukhari) 

Oleh itu, seseorang muslim mestilah memelihara lidahnya, dengan tidak menggunakannya melainkan untuk kebaikan semata-mata. Lidah tidak harus digunakan unutk perkara-erkara yang melalaikan lebih-lebih lagi untuk kejahatan. Elakkan dari ghibah ( mengumpat/ fitnah), humazah (pengumpat), namimah (mengadu domba). " barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah ia bercakap dengan perkataan yang baik atau ia diam sahaja (HR. Bukhari)

Lidah ini perlu dikawal dan dilatih, mendiamkan diri adalah sebaik-baik jalan untuk melatih lidah dan mengawalnya. Berdiam diri sementara waktu juga perlu sebagai usaha melatih atau mengawal lidah. Diam yang menjadi salah satu syarat mujahadah al-nafs ini juga bersifat sementara dengan maksud melatih dan mengawal lidah terutama dalam keadaan yang memerlukan perkataan yang diucapkan. Jika dalam keadaan berkata-kata seperti menyuruh makhruf atau mencegah daripada mungkar, maka diam dalam keadaan ini adalah tidak wajar, malah kata-kata yang baik juga harus mengungkapkan dengan "hikmah". Firman Allah yang bermaksud:

"Allah menganugerahkan al-hikmah (kefahaman yang dalam tentang al-quran ) kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan barang siapa yang dianugerahi hikmat, ia benar-benar telah dianugerahkan kurnia yang banyak dan hanya orang-orang yang barakallah".( al-Baqarah: 269) 

3. AL-JU' (Berlapar)
-Prinsip umum Islam dalam isu pemakanan ialah makan sekadar menguatkan tubuh supaya dapat menunaikan kewajipan-kewajipan terhadap Allah dan sesama manusia. Makan labih kadar ini sehingga kenyang adalah diharuskan (mubah). Makan lebih daripada kenyang adalah tidak digalakkan kerana termasuk di dalam perbuatan berlebihan yang dilarang. Firman Allah:

"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat beribadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas". (al-a'raf :31).

Makan/ minum lebih daripada kadar yang perlu adalah perbuatan menurut nafsu. Perbuatan yang demikian walaupun daripada bahan-bahan yang halal adalah tidak secucuk dengan citarasa Islam, terutama apabila dinilai dari sudut kerohanian atau akhlak islam.
Makan minum yang ideal dalam ajaran islam ialah sepertimana yang tersebut dalam hadis Rasulullah Saw: 
"memadailah anak Adam itu memakan beberapa suap makanan yang menegapkan tubuhnya. Salurannya tidak berupaya berbuat demikian".

4. AL-SAHRU ( Berjaga Malam)
-Kewajipan dalam hidup terlalu banyak. Jikan seseorang tidak dapat mendisiplinkan dirinya dari segi tidurnya, maka ini sering merugikannya. Tidur yang dikawal lebih melepaskan peluang yang banyak terutama waktu-waktu ibadat yang penting dan perlu direbut seperti solat al-fajar, solat berjamaah, beristighfar waktu dinihari dan solat Tahajjud.
Di dalam islam, waktu malam ada kelebihannya yang tersendiri, antaranya, Firman Allah yang bermaksud: 

"Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya". (surah al-muzammil:6)

Hadis: "dikatakan telah ditanya wahai Rasulullah! doa manakah yang lebih didengar (diterima) oleh Allah? Baginda menjawab: doa yang dipohonkan ditengah malam (dinihari) dan yang dipohonkan selepas solat waktu." ( HR. Tirmizi)

Berjaga malam yang menjadi salah satu syarat utama Mujahadah al-nafs ialah diisi dengan ibadat, ilmu, zikrullah seperti membaca al-quran dan lain-lain serta amalan-amalan kebajikan lain seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah bersama para sahabat baginda. Seseorang Muslim dituntut memelihara hak diri dan kesihatan dengan memenuhi keperluan-keperluan tubuhnya seperti tidur yang cukup. Oleh itu seseorang perlu membuat penyelesaian tertentu (adjustments) untuk menggantikan waktu lain untuk memenuhi keperluan dirinya kepada tidur sebentar sebelum zohor dan lain-lain.

RUMUSAN
Dengan kawalan ke atas pergaulan, percakapan, pemakanan dan tidur, seseorang boleh mengawal banyak keinginan-keinginan diri (nafs). Ruhaniah akan bertambah subur dan akan membawanya kepada kejayaan yang hakiki di dunia dan akhirat dengan izin dan bantuan daripada Allah jua.

No comments:

Post a Comment